top of page
Apakah Peranan BTP Dalam Literasi Digital?

Kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat ditingkatkan melalui penggunaan sumber pendidikan secara terancang dan teratur, menjadikan proses P&P lebih bermakna dan berkesan, membantu guru menerangkan sesuatu konsep dengan lebih mudah dan menarik serta membantu murid memahami perkara yang dipelajari dan seterusnya berkemahiran mengurus pembelajaran mereka secara proaktif dan bertanggungjawab.

 

Justeru, guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknologi pendidikan supaya dapat memilih, mengurus, mengguna dan menilai sumber pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan P&P. Teknologi Pendidikan merupakan satu bidang dan amalan etika yang praktikkan untuk memudahcara dan meningkatkan keberkesanan P&P melalui penghasilan, penggunaan dan pengurusan sumber pendidikan dan proses teknologi yang sesuai.

 

Pembelajaran berasaskan Sumber Pendidikan berteknologi tinggi (literasi digital) merujuk kepada pewujudan dan penyediaan kemudahan resos dan peralatan seperti perkakasan, perisian, dan rangkaian Internet kepada semua warga sekolah yang ingin mendapatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai sama ada melalui proses P&P secara formal atau secara kendiri. Pembelajaran berasaskan literasi digital pada dasarnya dapat dilaksanakan merentas sempadan dan masa dengan adanya peralatan digital berbentuk maya.

 

Perkembangan pesat berbilion-bilion maklumat dan Sumber Pendidikan di Internet menyukarkan carian dan penilaian Sumber Pendidikan yang berkualiti dan sesuai dengan murid. Murid juga perlu diberi pendedahan Kemahiran Abad Ke-21 (21st Century Skills) dan Literasi Maklumat (Information Literacy) termasuk komponen Literasi Digital supaya mereka mampu mengenal pasti, mencari, menilai dan mengguna maklumat secara berkesan dan efisien. Pengurusan Pusat Sumber Sekolah termasuk Pusat Akses Sekolah dan Sumber Pendidikan (termasuk sumber berteknologi tinggi) yang berkesan, sistematik dan efisien perlu dititik berat dan ditingkatkan. Tugas ini perlu digalas bukan sahaja oleh Guru Perpustakaan dan Media dan Guru Penyelaras Bestari / ICT, malah oleh semua guru bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi, warganegara yang bertanggung jawab, pekerja yang berilmu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

© 2023 by MORGAN ZACHS. Proudly made by Wix.com

  • Facebook Clean
  • Instagram Clean
  • Twitter Clean
  • Flickr Clean
bottom of page